Angkasawan Chris Ferguson harus membuat keputusan yang sukar sebagai komander kru penerbangan yang dijadualkan untuk terbang ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa. Namun keputusan tersebut tiada kena-mengena dengan mekanik penerbangan atau keselamatan angkasawannya yang lain. Sebaliknya, keputusan yang dibuat oleh Ferguson berkaitan dengan apa yang dianggapnya sebagai kerja paling penting dalam hidupnya, iaitu keluarganya. Ferguson membuat keputusan untuk tidak pergi ke angkasa supaya dia dapat menghadiri upacara perkahwinan anak perempuannya.
Dari semasa ke semasa, kita akan berhadapan dengan keputusan yang sukar dalam kehidupan kita—keputusan yang akan menyebabkan kita mempertimbangkan apa yang paling penting dalam kehidupan kita, kerana satu pilihan dibuat dengan mengorbankan pilihan yang lain. Yesus bertujuan untuk menyampaikan kebenaran ini kepada para pengikut-Nya dan sekumpulan orang ramai yang sedang memerhati, mengenai keputusan paling penting dalam kehidupan—mengikut-Nya. Yesus berkata, untuk menjadi pengikut-Nya, mereka perlu “menyangkal diri “ supaya mereka dapat berjalan bersama dengan-Nya (8:34). Mereka mungkin tergoda untuk tidak membuat pengorbanan yang dituntut Tuhan untuk mengikut Yesus malah mengikuti keinginan mereka sendiri, tetapi Yesus mengingatkan mereka bahawa keputusan mereka akan mengakibatkan pengorbanan yang lebih penting dalam kehidupan mereka.
Kita sering kali tergoda untuk mengejar perkara-perkara yang kelihatan amat bernilai, tetapi semua itu mengalihkan perhatian kita daripada mengikut Yesus. Marilah kita meminta bimbingan Tuhan ketika membuat segala pilihan dalam kehidupan seharian, agar kita boleh membuat pilihan dengan bijak dan memuliakan Tuhan.