Semua orang di sekolah menengah mengagumi keperibadian Jack yang mudah mesra dan kemahirannya dalam sukan. Jack berasa paling gembira pada waktu dia terlonjak ke udara di atas sebuah tanjakan apabila bermain papan luncur.
Jack membuat keputusan untuk mengikut Yesus selepas dia mula menghadiri sebuah gereja tempatan. Sehinggalah waktu itu, Jack telah mengalami masalah keluarga yang berterusan dan berpaling kepada dadah untuk mengubati kesengsaraannya. Seketika selepas dia percaya kepada Yesus, segala keadaannya kelihatan semakin baik. Namun Jack mula menggunakan dadah lagi selepas beberapa tahun kemudian. Tanpa bantuan dan rawatan yang berterusan, akhirnya Jack meninggal dunia akibat dadah berlebihan.
Memang senang untuk kita kembali kepada kebiasaan kita apabila menghadapi kesukaran dalam kehidupan kita. Apabila orang-orang Israel terasa cemas akan kedatangan serangan pihak Asyur, mereka merangkak balik ke pangkuan orang-orang Mesir—bekas tuan hamba mereka—untuk perlindungan (Yesaya 30:1-5). Tuhan sudah mengetahui bahawa peristiwa ini akan membawa malapetaka, tetapi Dia masih menjaga mereka walaupun mereka telah membuat pilihan yang salah. Yesaya menyuarakan isi hati Tuhan dengan berkata: “Namun TUHAN menanti-nantikan saatnya untuk menunjukkan belas kasihan-Nya kepada kamu. Dia mengasihani kamu kerana Dia Allah yang sentiasa berbuat adil. Berbahagialah mereka yang berharap kepada TUHAN” (ayat 18).
Beginilah sifat Tuhan, walaupun kita memilih untuk berpaling ke arah lain untuk mengubati kesakitan kita, Tuhan masih mahu menolong kita. Tuhan tidak mahu kita menyakiti diri kita dengan tabiat yang membelenggu kita. Benda-benda dan tindakan tertentu cenderung menggoda kita dengan memberikan perasaan lega yang singkat, tetapi Tuhan mahu memberi kita penyembuhan yang tulen ketika kita berjalan akrab dengan-Nya.