Marie, seorang ibu tunggal yang bekerja, jarang sekali ponteng ibadat gereja atau kelas pengajian Alkitab. Setiap minggu, dia menaiki bas pergi dan balik ke gereja bersama dengan lima orang anaknya, malah dia turut membantu untuk mengatur dan membersihkan gereja. Pada satu pagi Ahad, pastor memberitahu Marie bahawa beberapa orang ahli gereja ingin membantu keluarganya. Sepasang suami isteri menyediakan rumah dengan kadar sewa yang rendah. Satu pasangan lagi menawarkan peluang pekerjaan di kedai kopi mereka. Seorang pemuda pula memberi Marie sebuah kereta lama yang telah dibaiki pulih dan berjanji akan menjadi mekanik peribadinya. Marie bersyukur kepada Tuhan atas sukacita kehidupan dalam sebuah komuniti yang setia melayani Tuhan dan satu sama lain.

Walaupun kita mungkin tidak dapat memberi sebanyak yang telah diberikan oleh ahli gereja Marie, pengikut Kristus direka untuk menolong satu sama lain. Penulis Alkitab, Lukas menggambarkan orang percaya di dalam Yesus sebagai “tekun” menerima ajaran “rasul-rasul dan mereka hidup bersaudara” (Kisah Rasul-Rasul 2:42). Apabila kita menggabungkan sumber yang ada, kita dapat bekerjasama untuk menolong sesiapa yang ada keperluan, seperti yang dilakukan oleh pengikut Kristus (ayat 44-45). Apabila kita semakin dekat dengan Tuhan dan orang lain, kita dapat saling mengambil berat. Tindakan orang percaya yang penuh kasih boleh membawa kesaksian dan memimpin orang percaya bahawa Yesus ialah Penyelamat mereka (ayat 46-47).

Kita boleh melayani yang lain dengan senyuman atau perbuatan baik. Kita boleh menawarkan bantuan dari segi kewangan ataupun doa. Seperti mana Tuhan bekerja di dalam dan melalui kita, adalah lebih baik apabila kita tetap bersatu.