Sebuah cecincin besi yang kasar bertahan melawan musim sejuk yang menyeksakan di Minnesota, ketika ia tergantung pada bingkai pintu rumah ladang yang usang milik bapa saudara saya. Tidak jauh dari situ juga terdapat cecincin lain yang berpaut teguh pada bangsal, tempat menyimpan hasil tenusu. Apabila ribut salji menimpa kawasan itu, bapa saudara saya akan memasang satu tali antara kedua-dua cecincin supaya dia dapat menemui jalan antara rumahnya dan bangsal. Pegangan yang teguh terhadap tali itu menghindari dirinya sesat dalam ribut salji yang teruk.

Penggunaan tali keselamatan oleh bapa saudara saya pada masa ribut salji mengingatkan saya tentang Daud. Dia menggunakan perkataan daripada puisi Ibrani untuk menjejaki hikmat dalam bimbingan Tuhan tentang kehidupan kita dan menghindari kita melakukan dosa dan kesilapan: “Ketetapan TUHAN itu adil, tidak berat sebelah. Ketetapan TUHAN lebih berharga daripada emas murni, lebih manis daripada madu. Hamba-Mu diperingatkan oleh semua itu; pahala tersedia untuk orang yang mentaatinya” (Mazmur 19:10-12).

Pegangan yang teguh terhadap kebenaran Alkitab yang dinyatakan oleh Roh Kudus yang bekerja di dalam hati kita akan membantu kita agar tidak sesat, dan membantu kita membuat keputusan-keputusan yang memuliakan Tuhan dan orang lain. Alkitab memberi amaran supaya kita tidak berjalan jauh daripada Tuhan dan menunjukkan kita jalan pulang. Ia memberitahu kita tentang kasih yang tak ternilai oleh Juruselamat kita dan berkat yang menunggu sesiapa sahaja yang meletakkan iman mereka di dalam Dia. Alkitab adalah tali keselamatan! Semoga Tuhan membantu kita terus berpaut padanya.