Setelah meluangkan masa berjam-jam menonton berita di televisyen setiap hari, lelaki tua itu mulai berasa gelisah dan bimbang kerana dunia sedang menuju kehancuran dan akan membawanya bersama. “Tolong matikan televisyen”, anak perempuannya memohon kepadanya. “Tolong berhenti dengar semua ini.” Tetapi lelaki tua itu pula terus menghabiskan masa yang banyak di media sosial dan sumber-sumber berita yang lain.
Apa yang kita dengar sangat penting. Kita dapat melihat hal ini dalam pertemuan Yesus dengan Pontius Pilatus. Demi memberi respons tentang tuduhan jenayah yang diajukan oleh para pemimpin agama terhadap Yesus, Pilatus memanggil Dia dan bertanya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” (Yohanes 18:33). Yesus menjawab dengan soalan yang menakjubkan: “Adakah pertanyaan ini daripadamu atau orang lain sudah memberitahu kamu tentang diri-Ku?” (ayat 34).
Soalan yang sama menguji kita. Di dunia yang panik ini, adakah kita mendengar suara kekacauan atau Kristus? Sesungguhnya, “Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku,” Dia berkata. “Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku” (10:27). Yesus “menceritakan perumpamaan ini” (ayat 6) untuk menjelaskan diri-Nya kepada para pemimpin agama yang meragui-Nya. Seperti seorang gembala yang baik, Dia berkata “domba-domba itu mengikuti dia kerana mengenal suaranya. Kawanan domba itu tidak akan mengikuti orang lain, bahkan akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu” (ayat 4-5).
Sebagai Gembala Baik kita, Yesus meminta kita hanya mendengar suara-Nya. Semoga kita mendengar dengan baik dan menemukan kesejahteraan-Nya.