Menurut statista.com, kerjaya kebanyakan pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan Amerika (NFL) adalah sangat singkat: hanya 3.3 tahun secara purata kecuali seorang pemain NFL yang bernama Tom Brady. Pada tahun 2021, dia memulakan musim yang ke-22 pada usia 44 tahun. Bagaimana? Mungkin diet yang ketat dan rutin senamannya yang terkenal telah membolehkan dia mengekalkan kelebihan daya saingannya. Tujuh cincin Super Bowl yang dianugerahkan kepada Brady telah membolehkan dia mendapat gelaran G.O.A.T (Greatest of All Time)—pemain terhebat sepanjang masa dalam NFL. Tetapi ini merupakan gelaran yang mustahil tercapai sekiranya dia tidak memberikan sepenuh tumpuan untuk mencapai prestasi yang tertinggi.
Rasul Paulus memuji atlet yang mempamerkan disiplin yang sama pada zamannya (1 Korintus 9:24). Tetapi dia juga melihat bahawa tidak kira sekerap mana mereka berlatih, akhirnya kejuaraan mereka pudar. Sebaliknya dia berkata, kita mempunyai peluang untuk hidup bagi Yesus dengan cara yang dapat mempengaruhi kehidupan yang abadi. Jika atlet yang berusaha untuk kejuaraan yang sementara boleh bekerja keras, Paulus membayangkan, apatah lagi orang percaya yang hidup untuk “hadiah kejuaraan yang tidak akan rosak” (ayat 25).
Kita tidak perlu berlatih untuk mendapatkan keselamatan. Sebaliknya, apabila kita memahami betapa menakjubkan keselamatan daripada Tuhan, ini mengubah keutamaan hidup kita, sudut pandangan kita, dan perkara-perkara yang mendorong kita berlari dalam perlumbaan iman dengan setia melalui kekuatan Tuhan.
Pada pendapat anda, bagaimanakah iman mendorong anda memberikan yang terbaik? Bagaimanakah anda boleh mengelakkan menjadi legalisme ketika anda bertumbuh dalam disiplin rohani?
Bapa, bantulah aku bertumbuh dalam disiplin sebagai respons terhadap kasih-Mu dan bukan untuk mendapatkan sesuatu yang telah Engkau berikan kepada aku.
Orang yang percaya kepada Yesus di Korintus mungkin boleh memahami metafora atletik yang dihuraikan oleh Paulus dalam 1 Korintus 9. Korintus ialah tempat sukan Isthmia diadakan. Craig Keener mencatatkan dalam buku komentari yang bertajuk
The IVP Bible Background Commentary: “Korintus menjadi tuan rumah bagi sukan-sukan utama di seluruh Yunani setiap dua tahun di tanah genting (jambatan tanah sempit yang menghubungkan Semenanjung Peloponnese dengan seluruh tanah besar Yunani, berhampiran kota Korintus); ini adalah perayaan Yunani yang dihadiri oleh paling ramai orang di samping sukan Olimpik.” Larian dan tinju (ayat 26) adalah salah dua acara yang dipertandingkan oleh atlet. Acara-acara lain termasuk gusti, membaling cakera dan lembing, lompat jauh, lumba kereta kuda beroda dua, membaca puisi dan menyanyi. Paulus membuat rujukan atlet dalam 1 Timotius 4:8, 2 Timotius 2:5, dan ayat-ayat ini daripada 2 Timotius 4:7-8: “Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir. Sekarang hadiah kemenangan menantikan aku. Pada Hari Kiamat, Tuhan, Hakim yang adil akan menyerahkan hadiah itu kepadaku, kerana aku telah hidup menurut kehendak-Nya.”
Arthur Jackson