Saya pernah takut menghadapi hari Isnin. Terkadang, apabila saya turun daripada kereta api untuk menuju ke tempat kerja saya sebelum ini, saya akan duduk di stesen untuk seketika, cuba untuk melengahkan masa sampai ke bangunan itu, walaupun sekadar beberapa minit sahaja. Hati saya akan berdegup kencang apabila memikirkan tentang tarikh akhir dan bagaimana untuk menangani bos yang panas baran.

Bagi sesetengah kita, ini mungkin agak sukar untuk memulakan satu lagi minggu pekerjaan yang menjemukan. Kita mungkin berasa terbeban atau kurang dihargai dalam pekerjaan kita. Raja Salomo menerangkan tentang jerih payah manusia dalam pekerjaan dan menulis: “Manusia bekerja dan khuatir seumur hidup, tetapi apakah hasilnya? Selama mereka hidup, semua perbuatan mereka itu mendatangkan kekhuatiran dan penderitaan batin” (Pengkhutbah 2:22-23).

Walaupun raja yang bijaksana itu tidak memberikan kita panduan untuk mengurangkan tekanan kerja atau menjadikannya lebih memuaskan, tetapi dia telah menawarkan kita perubahan dari segi perspektif. Tidak kira betapa sukarnya pekerjaan kita, dia menggalakkan kita mendapatkan kepuasan dengan pertolongan Tuhan (ayat 24). Mungkin kepuasan itu akan datang apabila Roh Kudus membantu kita mempamerkan watak seperti Kristus. Atau seseorang memberitahu kita bahawa dia diberkati melalui pelayanan kita. Atau semasa kita mengingati hikmat yang disediakan Tuhan untuk menghadapi situasi yang sukar. Walaupun pekerjaan kita mungkin sukar, Tuhan kita yang setia ada bersama kita. Kehadiran dan kuasa-Nya dapat menerangi hari-hari yang suram. Dengan pertolongan-Nya, kita boleh bersyukur untuk hari Isnin.