Pada tahun 2010, Laszlo Hanyecz membuat transaksi pertama dengan bitcoin (mata wang digital yang bernilai sebahagian kecil daripada satu sen setiap satu), membeli dua kotak piza yang harga $25 dengan menggunakan 10,000 bitcoin. Pada tahun 2021, semasa bitcoin mencapai nilai puncak, harganya boleh bernilai lebih daripada $500 juta. Lama sebelum nilai bitcoin melonjak tinggi, dia terus membeli piza menggunakan mata wang digital ini dan telah membelanjakan sebanyak 100,000 bitcoin. Sekiranya dia menyimpan bitcoin tersebut, nilainya pasti akan membuat dirinya seorang jutawan sebanyak 68 kali ganda dan meletakkan namanya dalam senarai majalah Forbes “orang terkaya di dunia.” Kalaulah dia dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
Sudah tentunya Hanyecz tidak mungkin dapat mengetahuinya. Tidak ada seorang pun dapat mengetahuinya. Walaupun kita cuba untuk memahami dan mengawal masa depan, apa yang tertulis dalam kitab Pengkhutbah kedengaran benar: “Tidak sesiapa pun tahu perkara yang akan berlaku pada hari depan” (10:14). Sesetengah kita menipu diri kita untuk berfikir bahawa kita tahu lebih banyak daripada yang sebenarnya, atau lebih buruk lagi, kita percaya kita mempunyai penglihatan khas tentang kehidupan atau masa depan orang lain. Tetapi seperti yang ditanya oleh Pengkhutbah “tidak sesiapa pun dapat memberitahu kita hal yang akan berlaku setelah kita meninggal” (ayat 14). Tidak ada seorang pun.
Alkitab membezakan orang yang bijak dan bodoh, dan salah satu perbezaan antara kedua-dua jenis personaliti ini adalah kerendahan hati tentang masa depan (Amsal 27:1). Orang bijak mengetahui bahawa hanya Tuhan yang benar-benar tahu apa yang akan terjadi ketika mereka membuat keputusan. Tetapi orang bodoh membuat anggapan tentang pengetahuan yang bukan milik mereka. Semoga kita mempunyai hikmat, mempercayakan masa depan kita kepada Tuhan Yang Maha Tahu.