Ketika saya berpindah ke England, Hari Kesyukuran yang biasa disambut di Amerika Syarikat pada bulan November menjadi satu hari Khamis yang biasa. Walaupun saya merayakannya pada hujung minggu selepas itu, saya rindu untuk berkumpul bersama-sama keluarga dan rakan-rakan saya pada hari tersebut. Namun, saya menyedari bahawa bukan saya seorang sahaja yang memiliki hasrat seperti ini. Kita semua rindu untuk bersama dengan orang-orang yang kita sayangi pada hari cuti dan hari-hari yang istimewa. Bahkan ketika kita sedang merayakan, kita mungkin merindukan seseorang yang tidak ada bersama dengan kita ketika itu, atau kita mungkin berdoa untuk hubungan keluarga kita yang berpecah belah boleh didamaikan.

Pada masa-masa seperti ini, doa dan merenungkan hikmat yang terdapat dalam Alkitab membantu saya, ini termasuk satu perumpamaan yang ditulis oleh raja Salomo: “Apabila harapan hancur, hati pun hancur; apabila hasrat tercapai, hati gembira” (Amsal 13:12). Dalam perumpamaan ini, salah satu kata-kata ringkas yang digunakan oleh Salomo untuk menyampaikan kebijaksanaannya, dia memerhatikan kesan yang diperoleh daripada “harapan hancur”: penangguhan sesuatu yang dinanti-nantikan boleh menyebabkan keresahan dan kesakitan. Tetapi apabila keinginan dipenuhi, hati berasa gembira—sesuatu yang membolehkan kita berasa segar dan diperbaharui.

Terdapat beberapa harapan dan keinginan kita yang mungkin tidak digenapi dengan segera, dan beberapa lagi mungkin hanya dapat digenapi melalui Tuhan setelah kita meninggal dunia. Apa pun hasrat kita, kita boleh percaya kepada Dia dengan mengetahui bahawa kasih-Nya tidak berkesudahan. Dan, suatu hari nanti, kita akan dapat bertemu semula dengan orang tersayang ketika kita berpesta dengan-Nya dan bersyukur kepada-Nya. (Lihat Wahyu 19:6-9)