Beberapa tahun yang lalu, sebuah lagu yang popular telah masuk carta, dengan sekumpulan koir Kristian yang menyanyikan korus, “Yesus Berjalan Bersamaku.” Satu kisah yang hebat terkandung di sebalik lirik lagu ini.
Koir tersebut ditubuhkan oleh seorang pemuzik jaz, Curtis Lundy ketika dia berada di sebuah program rawatan disebabkan oleh ketagihan kokain. Dia mengumpulkan beberapa penagih yang lain dan mendapatkan inspirasi daripada nyanyian pujian lama, dia menulis korus lagu itu sebagai lagu harapan bagi mereka yang berada dalam pemulihan. “Kami bernyanyi untuk hidup kami,” kata seorang ahli koir. “Kami minta Yesus untuk menyelamatkan kami, membebaskan kami daripada ketagihan dadah.” Malah seorang ahli koir yang lain mendapati penyakit kroniknya reda apabila dia menyanyikan lagu ini. Kumpulan koir ini bukan sahaja menyanyikan lirik yang tertulis pada kertas, tetapi mereka memanjatkan doa yang terdesak untuk penebusan.
Ayat Alkitab pada hari ini menggambarkan dengan baik pengalaman yang dialami mereka. Dalam Kristus, Tuhan kita telah datang untuk menawarkan keselamatan bagi semua orang (Titus 2:11). Sementara kehidupan kekal adalah sebahagian daripada anugerah Tuhan (ayat 13), Tuhan sedang bekerja dalam kehidupan kita sekarang, memberi kekuatan kepada kita untuk mendapatkan semula kawalan diri, mengatakan “tidak” pada nafsu dunia, dan menebus kita untuk hidup dengan Dia (ayat 12, 14). Seperti disedari oleh ahli-ahli koir, Yesus bukan sahaja mengampuni dosa kita—Dia membebaskan kita daripada gaya hidup yang membinasakan.
Yesus berjalan bersama sama saya dan anda, dan sesiapa sahaja yang meminta pertolongan-Nya. Dia menyertai kita, dan sekarang Dia menawarkan harapan untuk masa depan dan keselamatan kita.