Sebuah cerita pendek yang ditulis oleh penulis dari Argentina, iaitu Jorge Luis Borges, mengisahkan tentang seorang askar Rom bernama Marcus Rufus, yang telah minum air dari “sungai rahsia yang dikatakan dapat membebaskan manusia daripada kematian”. Tetapi setelah beberapa masa berlalu, Marcus sedar bahawa kehidupan abadi tidak seperti yang dijangkanya: kehidupan tanpa batas adalah kehidupan tanpa makna. Malah, kematian itu sendiri yang memberi makna pada kehidupan. Setelah itu, Marcus menemukan suatu penawar—iaitu mata air yang jernih. Selepas sahaja dia minum mata air tersebut, Marcus terus mencalarkan tangannya dengan duri, dan titisan darah daripada lukanya menandakan dia kembali menjadi seorang manusia biasa.

Seperti Marcus, kadangkala kita juga berputus asa dengan kesingkatan hidup kita serta kematian (Mazmur 88:4). Kita bersetuju bahawa kematian memberi makna pada kehidupan. Namun, di sinilah ceritanya menyimpang. Tidak seperti Marcus, kita tahu bahawa kita telah menemui makna sebenar kehidupan kita melalui kematian Kristus. Dengan darah-Nya yang tertumpah di kayu salib, Kristus telah menguasai kematian, menelannya dalam kemenangan (1 Korintus 15:54). Penawar bagi kita ialah Yesus Kristus, yang mengurniai kita “air yang memberikan hidup” (Yohanes 4:10). Oleh sebab kita minum air itu, maka semua peraturan tentang hidup, kematian dan kehidupan yang abadi telah berubah (1 Korintus 15:52).

Memang benar bahawa kita tidak dapat melarikan diri daripada kematian secara fizikal, tetapi itu bukanlah yang terpenting. Yesus telah mengatasi segala keputusasaan kita tentang kehidupan dan kematian (Ibrani 2:11-15). Dalam Kristus, kita diyakinkan semula dengan harapan akan syurga, serta sukacita yang penuh bermakna dalam kehidupan abadi ketika tinggal bersama dengan-Nya.