Pada tahun 1524, Martin Luther memperhatikan bahawa: “Para peniaga mempunyai satu peraturan umum yang merupakan prinsip asas mereka … Aku tidak peduli tentang sesamaku, asalkan aku mempunyai keuntungan untuk memuaskan ketamakanku.” Selepas lebih daripada 200 tahun kemudian, John Woolman yang berasal dari Mount Holy, New Jersey, mengendalikan kedai jahitnya berdasarkan komitmen kepada Tuhan. Oleh sebab dia menyokong pembebasan hamba, Woolman enggan membeli sebarang bekalan kapas dan pewarna kain daripada syarikat-syarikat yang menggunakan buruh paksa. Dengan hati nurani yang jelas, dia mengasihi sesamanya dan hidup berdasarkan keikhlasan dan ketulusan dalam segala urusannya.
Rasul Paulus berusaha menjalani hidup dengan “keikhlasan dan ketulusan” (2 Korintus 1:12). Apabila sesetengah orang di Korintus cuba mempersoalkan kuasanya sebagai rasul Yesus, dia mempertahankan tindakannya di tengah-tengah mereka. Dia menulis bahawa kata-kata dan tindakannya dapat bertahan walaupun melalui penelitian yang rapi (ayat 13). Dia juga menunjukkan bahawa dia bergantung kepada kuasa dan rahmat Tuhan untuk keberkesanannya, dan bukan kuasa-nya sendiri (ayat 12). Pendek kata, iman Paulus kepada Kristus mempengaruhi segala yang dilakukannya.
Oleh sebab setiap kita hidup sebagai duta bagi Yesus, kita haruslah berhati-hati dan menjadi saksi berita baik tentang Yesus dalam segala urusan kita—keluarga, perniagaan dan lain-lain. Apabila kita mendedahkan kasih-Nya kepada orang lain dalam kuasa dan rahmat-Nya, kita memuliakan Tuhan dan mengasihi sesama kita.
Bagaimanakah kata-kata dan tindakan anda menggambarkan iman anda kepada Yesus? Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, mengapakah ketulusan dan keikhlasan amat penting dalam bergaul dengan orang lain?
Tuhan, tolonglah aku melayani orang lain dengan hati nurani yang jelas supaya kasihku terhadap mereka menjadi kelihatan.
Alkitab versi
New International Version mengandungi 22 rujukan tentang perkataan
integrity. Menurut takrifan istilah ini dalam salah sebuah kamus, perkataan ini bermaksud “amalan bersikap jujur dan menunjukkan kepatuhan yang tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat.” Takrifan inilah yang ditegaskan oleh Paulus dalam 2 Korintus 1:12.
Kepentingan perkataan ini diserlahkan dalam seluruh Alkitab. Dalam Alkitab Versi Borneo ada beberapa terjemahan tentang perkataan ini, misalnya Daud menunjukkan “keikhlasan hatinya” (Mazmur 78:72). Tuhan juga berjanji kepada Salomo bahawa “jika engkau hidup di hadapan-Ku sama seperti Daud, ayahmu, iaitu dengan
tulus hati dan jujur serta engkau bertindak selaras dengan segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu dan berpegang teguh ketetapan serta peraturan-Ku, maka Aku meneguhkan takhta kerajaanmu atas orang Israel untuk selama-lamanya” (1 Raja-Raja 9:4-5). Dalam 1 Tawarikh 29:17, Daud berkata kepada Tuhan, “Aku tahu, ya Allahku, bahawa Engkaulah yang menguji hati dan berkenan kepada
ketulusan.” Ayub merupakan seorang lelaki yang
tulus hati (Ayub 2:3). Kitab Amsal berkata, “Orang yang hidup dalam
keikhlasan, aman jalannya” (10:9) dan “Perbenaran mengawal orang yang
hidup tidak bercela, tetapi kejahatan menghancurkan orang yang berdosa” (13:6).
Alyson Kieda