Pada umur 103 tahun, seorang wanita yang bernama Man Kaur telah menyertai Kejohanan Olahraga Masters Dunia di Poland sebagai atlet wanita tertua dari India. Dengan luar biasanya, Kaur memenangi pingat emas dalam 4 acara (lempar lembing, lontar peluru, larian 60 meter, dan larian 200 meter). Namun, apa yang paling mengejutkan adalah dia berlari lebih laju berbanding dengan lariannya dalam kejohanan pada tahun 2017. Sebagai seorang nenek tua yang sudah memasuki abad keduanya, Kaur menunjukkan kita caranya mengakhiri hidup ini dengan baik.
Rasul Paulus telah menulis surat kepada Timotius, iaitu anak muridnya yang lebih muda, tentang cara memasuki tahun-tahun akhir dalam hidupnya. “Tidak lama lagi aku meninggalkan dunia ini,” kata Paulus (2 Timotius 4:6). Merenung kembali akan hidupnya, Paulus yakin bahawa dia telah menamatkan perjalanan hidupnya dengan baik. “Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya” kata Paulus. “Aku sudah sampai di garis akhir” (ayat 7). Paulus mempunyai keyakinan tersebut bukan kerana dia melihat pencapaiannya yang mengagumkan atau impaknya yang luas (walaupun segala pencapaiannya sangat hebat). Sebaliknya, dia menyedari bahawa dia telah “ memelihara iman” (ayat 7, TB). Rasul itu tetap setia kepada Yesus sampai akhir. Walaupun dalam kesedihan dan kegembiraan, dia tetap mengikut Yesus yang telah menyelamatkannya daripada kebinasaan. Selain itu, Paulus tahu bahawa Yesus menyediakan “mahkota perbenaran” untuknya, pengakhiran yang menggembirakan kerana dia telah setia kepada Tuhan selama hidupnya (ayat 8, AVB).
Paulus menegaskan bahawa mahkota ini bukan untuk segelintir elit sahaja, tetapi untuk “semua orang yang menantikan kedatangan [Kristus] dengan penuh kerinduan” (ayat 8). Sementara kita memasuki tahun yang baharu, marilah kita mengingatkan bahawa Yesus akan memahkotai semua orang yang mengasihi-Nya, dan semoga kita hidup untuk mencapai pengakhiran yang baik.