Keith berasa sedih ketika dia berjalan dengan susah payah melalui bahagian jualan sayur-sayuran dan buah-buahan. Tangannya menggeletar disebabkan oleh tanda pertama penyakit Parkinson. Berapa lama lagi kualiti hidupnya akan mulai merosot? Apakah ertinya hal ini kepada isterinya dan anak-anaknya? Kesuraman Keith dipecahkan oleh tawa. Berdekatan dengan bahagian kentang, seorang lelaki menolak seorang budak lelaki yang sedang tertawa di kerusi roda. Lelaki itu membongkok dan berbisik kepada anak lelakinya yang tidak dapat berhenti tersenyum lebar. Keadaannya nyata lebih teruk daripada Keith, namun dia dan ayahnya memperoleh kegembiraan dalam apa pun keadaan yang mampu.

Semasa menanti keputusan perbicaraan, rasul Paulus yang dipenjarakan atau ditahan dalam rumah nampaknya tidak mempunyai alasan untuk gembira (Filipi 1:12-13). Maharaja pada ketika itu ialah Nero, seorang yang jahat dan memiliki reputasi buruk disebabkan keganasan dan kekejamannya, jadi Paulus sepatutnya ada alasan untuk berasa khuatir. Dia juga tahu bahawa ada penginjil yang mengambil kesempatan akan ketiadaannya bagi tujuan memperoleh sanjungan bagi diri mereka sendiri. Mereka berfikir boleh “menyusahkan lagi” Paulus ketika dia ditahan dalam penjara (1:17).

Tetapi Paulus memilih untuk bersukacita (ayat 18-21), dan dia memberitahu jemaah di Filipi supaya mencontohinya: “Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah!” (4:4). Situasi kita mungkin kelihatan suram, tetapi Yesus menyertai kita sekarang, dan Dia menjamin masa depan kita yang penuh gemilang. Kristus, yang telah bangkit dari kubur-Nya, akan kembali untuk membangkitkan para pengikut-Nya untuk hidup dengan-Nya. Mulakanlah tahun baru ini dengan sukacita!