Monica berdoa dengan sungguh-sungguh agar anak lelakinya kembali kepada Tuhan. Dia menangisi anaknya yang menjalani kehidupan yang tidak bermoral bahkan mencari anaknya di beberapa bandar lain. Keadaan tersebut kelihatan tiada harapan. Namun pada suatu hari perkara ini terjadi: anaknya mempunyai satu pertemuan yang luar biasa dengan Tuhan. Kemudian dia menjadi salah seorang ahli teologi Kristian yang terhebat. Kita mengenalinya sebagai Agustinus, Biskop dari Hippo.
“Berapa lama lagi, ya TUHAN” (Habakuk 1:2). Nabi Habakuk merintih kerana Tuhan tidak bertindak terhadap orang-orang berkuasa yang memutarbelitkan keadilan (ayat 4). Fikirkan waktu ketika kita kembali kepada Tuhan dalam keadaan terdesak—mencurahkan rintihan kita disebabkan ketidakadilan, rawatan perubatan yang kelihatan tidak berhasil, pergelutan kewangan yang berterusan, atau anak-anak yang telah menjauhi Tuhan. Setiap kali Habakuk merintih, Tuhan mendengar rintihannya. Ketika kita menanti dengan iman, kita boleh belajar daripada nabi tersebut untuk menukar rintihan kita kepada pujian, seperti yang dikatakannya, “Aku akan bersuka ria kerana TUHAN dan bergembira kerana Allah yang menyelamatkan aku” (3:18, perkataan italik ditambahkan). Dia tidak memahami kerja Tuhan, tetapi dia mempercayai-Nya. Kedua-dua rintihan dan pujian adalah perbuatan beriman, satu ekspresi kepercayaan. Kita merintih sebagai satu permintaan kepada Tuhan berdasarkan watak-Nya. Pujian kita kepada-Nya berdasarkan siapa Dia sebenarnya—Tuhan kita yang ajaib dan Yang Maha Kuasa. Suatu hari kelak, dengan rahmat-Nya, setiap rintihan akan menjadi pujian.