Pemuisi, pelukis, dan pengukir, William Blake menikmati perkahwinan selama 45 tahun dengan isterinya, Catherine. Sejak hari perkahwinan mereka sehingga kematiannya pada tahun 1827, mereka bekerja seiringan. Catherine menambah warna ke atas lakaran William, dan kesetiaan mereka bertahan dalam kemiskinan serta cabaran-cabaran lain selama bertahun-tahun. Walaupun pada minggu-minggu terakhir apabila kesihatannya merosot, Blake masih menghasilkan karya seni, dan lakaran terakhirnya adalah wajah isterinya. Empat tahun kemudian, Catherine meninggal dengan masih menggenggam salah satu pensel suaminya di tangan.
Kibaran cinta pasangan Blake memperlihatkan gambaran cinta yang terdapat dalam kitab Kidung Agung. Walaupun gambaran dalam Kidung Agung semestinya mempunyai implikasi untuk perkahwinan, orang Kristian zaman awal percaya kitab ini juga menunjukkan kasih Yesus yang kekal kepada semua pengikutnya. Kidung tersebut melakarkan bahawa cinta “itu sekuat kematian”. Ini merupakan satu metafora yang menakjubkan kerana kematian ialah pengakhiran manusia yang tidak dapat dielakkan, suatu realiti yang sangat difahami oleh manusia (8:6). Cinta kuat ini “bagai api ternyala, nyala api TUHAN” (ayat 6). Tidak seperti api yang kita ketahui, nyala api ini tidak dapat dipadamkan, bahkan oleh banjir. “Air yang meluap pun tidak mampu memadamkan cinta,” seperti yang ditegaskan dalam Kidung Agung (ayat 7).
Siapakah yang tidak mengharapkan cinta sejati? Kidung Agung mengingatkan kita bahawa ketika kita mengalami hubungan cinta yang sejati, Tuhan ialah sumber utamanya. Dalam Yesus, setiap kita boleh mengenali cinta yang mendalam dan abadi—sesuatu yang membakar seperti api ternyala.