Pada suatu pagi beberapa tahun yang lalu, saya duduk di kerusi sementara anak perempuan bongsu saya turun ke tingkat bawah. Dia terus datang kepada saya, melompat dan duduk di atas riba saya. Saya memeluk dia dengan erat dan mencium kepalanya, dan dia menjerit kegirangan. Namun dahinya berkerut, dia meramas hidungnya dan menjeling ke arah cawan kopi saya. “Ayah,” katanya dengan sungguh-sungguh. “Aku sayang dan suka ayah, tapi aku tak suka bau ayah!”

Masa itu anak perempuan saya belum faham, tetapi dia bercakap dengan penuh kasih kurnia dan kebenaran: dia tidak mahu menyinggung perasaan saya, tetapi dia berasa gesaan yang kuat untuk memberitahu saya sesuatu. Inilah kejujuran yang kita perlukan dalam semua hubungan.

Dalam Efesus 4, Paulus menumpukan perhatian tentang cara kita saling berhubung—terutamanya pada masa kita perlu memberitahu kebenaran yang sukar diterima. “Kamu haruslah selalu rendah hati dan lemah lembut; sabar, bertolak ansur satu sama lain dalam kasih” (ayat 2). Kerendahan hati, kelembutan dan kesabaran menjadi asas bagi hubungan kita. Dengan membina kualiti-kualiti keperibadian ini dalam hidup kita, Tuhan akan menolong kita “bercakap benar dalam kasih” (ayat 15) dan berusaha untuk melafazkan “teguran baik yang membina, mengikut keperluannya” (ayat 29).

Tiada sesiapa suka menerima teguran tentang kelemahan dan prasangka sendiri. Namun apabila ada sesuatu tentang kita mula “berbau”, Tuhan boleh mendedahkan semua ini melalui saudara dan saudari seiman, dengan penuh kasih kurnia, kebenaran, kerendahan hati dan kelembutan.