Dalam kiriman artikel terbarunya, Bonnie Gray, seorang blogger mengenang saat apabila kesedihan yang mendalam mula menyelinap ke dalam hatinya. “Tanpa sebab,” katanya, “sewaktu saat yang paling bahagia dalam hidupku,” … Tiba-tiba saya mengalami serangan panik dan depresi.” Gray mencuba pelbagai cara untuk menangani kesakitannya, namun dengan segera dia menyedari bahawa dia belum cukup kuat untuk menghadapi semua ini seorang diri. “Saya tidak mahu orang lain mempersoalkan iman saya, jadi saya diam sahaja dan berdoa agar depresi saya akan hilang. Namun Tuhan ingin menyembuhkan kita, bukannya membuat kita berasa malu atau bersembunyi daripada penderitaan kita.” Gray mendapat ketenangan di hadapan Tuhan; Dia ialah sauhnya ketika dia berada dalam badai yang mengancam untuk menenggelami dia.
Apabila kita mencapai titik hidup yang rendah dan dipenuhi dengan kekecewaan, Tuhan hadir dan akan menyokong kita. Dalam Mazmur 18, Daud memuji Tuhan kerana Dia menyelamatkannya dari tempat bahaya apabila dia hampir ditewaskan oleh musuhnya. Dia mengisytiharkan, “Dia menghulurkan tangan-Nya dari langit, Dia menarikku keluar daripada pelbagai bencana yang menenggelamkan” (ayat 16). Bahkan ketika kekecewaan hampir menenggelami kita seperti gelora ombak di laut, Tuhan sangat mengasihi kita dan Dia akan menjangkau dan menolong kita, membawa kita “ke tempat yang luas”; penuh dengan kedamaian dan keselamatan (ayat 19). Mari kita datang kepada Dia sebagai tempat perlindungan kita apabila kita berasa ditewaskan oleh cabaran-cabaran hidup.