Pada 15 Januari 1919, sebuah tangki besar yang berisi molases, iaitu sejenis sirap pahit pekat dan hitam telah meletup di Boston. Gelombang tumpahan setinggi 4.5 meter daripada 2 juta gelen cecair itu melimpah di jalanan pada kelajuan 48 km sejam, dan menghanyutkan kereta api, bangunan, manusia dan binatang. Molases mungkin tidak berbahaya, tetapi pada masa itu bencana itu mengakibatkan maut: sejumlah 21 orang mati dan lebih daripada 150 orang tercedera.

Kadang-kadang bahkan perkara yang baik—seperti molases—boleh menenggelami kita tanpa diduga. Sebelum orang Israel memasuki tanah yang dijanjikan oleh Tuhan kepada mereka, Musa memberi amaran kepada orang Israel agar mereka berhati-hati supaya tidak menginginkan pujian (kredit) bagi perkara-perkara baik yang dilakukan mereka: “Setelah kamu makan sampai kenyang, setelah kamu membina rumah-rumah yang baik dan tinggal di dalamnya, setelah bertambah banyak kawanan lembu dan kawanan dombamu, juga perak dan emas kamu, serta segala sesuatu yang kamu miliki, …. Jangan sampai kamu berkata dalam hatimu, ‘Kekuatan dan keperkasaan tangankulah yang membuat aku memiliki kekayaan ini.’ Sebaliknya, ingatlah TUHAN, Allahmu, kerana Dialah yang memberikan kepadamu kekuatan untuk memperoleh kekayaan itu” (Ulangan 8:12-14, 17-18).

Semua perkara yang baik—termasuk kesihatan fizikal dan kemahiran yang diperlukan untuk mencari nafkah—adalah berkat daripada Tuhan yang pengasih. Walaupun kita telah bekerja keras, Tuhanlah yang menyokong kita. Angkatlah tangan anda, bersyukur dan memuji Tuhan kerana kebaikan-Nya bagi kita!