Apabila kawan saya memberi saya satu hadiah baru-baru ini, saya terkejut. Saya tidak berfikir bahawa saya layak menerima hadiah yang begitu baik daripadanya. Dia menghantarnya selepas mendengar tentang tekanan kerja yang saya alami. Namun dia juga mengalami tekanan yang sama, bahkan mungkin lebih berat; masalah tentang ibu bapa yang semakin tua, anak-anaknya yang mencabar, pergolakan di tempat kerja dan tekanan dalam perkahwinannya. Saya tidak percaya dia telah memikirkan tentang saya berbanding dirinya sendiri, dan hadiahnya yang sederhana itu membuatkan saya menangis.
Sebenarnya, setiap kita adalah penerima hadiah yang tidak layak untuk kita terima. Paulus mengatakan begini: “Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang yang berdosa—akulah orang yang paling berdosa” (1 Timotius 1:15). Walaupun dia dahulunya “seorang yang kufur, menganiaya dan ganas, … Tuhan kita melimpahkan kasih kurnia-Nya kepada [dia]” (ayat 13-14). Yesus yang telah bangkit, memberikan pemahaman yang mendalam kepada Paulus tentang kasih kurnia Tuhan. Hasilnya, dia belajar apa yang dimaksudkan sebagai penerima yang tidak layak untuk menerima hadiah itu dan dia menjadi alat yang hebat untuk menyampaikan kasih Tuhan serta memberitahu ramai orang tentang apa yang telah dilakukan Tuhan dalam hidupnya.
Hanya melalui rahmat Tuhan, kita menerima kasih dan bukannya kutukan, belas kasihan dan bukannya penghakiman. Hari ini, mari kita meraikan kasih kurnia yang diberikan oleh Tuhan kepada kita dan mencari cara untuk menunjukkan kasih kurnia itu kepada orang lain.