“Seorang lelaki sudah mati. Seorang lagi dalam keadaan kritikal,” kata hakim dengan sedih dalam sebuah filem klasik tahun 1957 yang bertajuk 12 Angry Men. Bukti terhadap suspek yang muda itu kelihatan sangat kukuh. Tetapi semasa perbincangan, perbezaan pendapat antara juri terdedah. Salah seorang daripada 12 juri—juri nombor 8—mengundi “tidak bersalah.” Perdebatan hangat berlaku, juri tunggal itu diejek ketika dia menunjukkan bahawa terdapat percanggahan dalam keterangan saksi. Emosi meningkat, kecenderungan jahat dan prejudis ahli-ahli juri yang lain turut terbongkar. Namun akhirnya, juri-juri menukar undi mereka kepada “tidak bersalah”, seorang demi seorang.
Apabila Tuhan memberi perintah-Nya kepada bangsa Israel yang baharu, Dia menegaskan mereka berpegang pada keberanian yang jujur. “Jika kamu menjadi saksi dalam suatu perkara,” kata Tuhan, “jangan menyimpang dengan mengikut orang ramai yang memutarbalikkan apa yang benar” (Keluaran 23:2). Yang menariknya, mahkamah sepatutnya tidak boleh “berat sebelah apabila seorang miskin diadili di mahkamah” (ayat 3, TMV) atau “merampas hak orang miskin untuk mendapatkan keadilan” (ayat 6). Tuhan, hakim yang adil, menuntut kita memiliki integriti dalam semua tindakan kita.
Dalam filem 12 Angry Men, juri kedua yang mengundi tidak bersalah berkata mengenai juri yang pertama, “Bukan mudah untuk menentang ejekan orang lain seorang diri.” Namun itulah yang dikehendaki oleh Tuhan. Juri nombor 8 melihat bukti sebenar serta berperikemanusiaan terhadap individu yang dibicarakan. Dengan bimbingan Roh Kudus yang lembut, kita juga boleh berdiri teguh demi kebenaran Tuhan dan bercakap bagi mereka yang tidak berdaya.