Aurukun ialah sebuah bandar kecil di bahagian utara Australia, dan penduduk-penduduk aslinya terdiri daripada tujuh puak. Walaupun Injil sampai ke Aurukun satu abad yang lalu, prinsip pembalasan mata ganti mata (kejahatan dibalas dengan kejahatan) kadangkala masih berlaku dalam kalangan mereka. Pada tahun 2015, ketegangan puak meningkat, dan apabila pembunuhan berlaku, prinsip bayaran balik menuntut kematian salah seorang daripada ahli keluarga pesalah sebagai balasan.
Tetapi sesuatu yang luar biasa berlaku pada awal tahun 2016. Penduduk Aurukun mula mencari Tuhan dalam doa. Selepas itu, ramai yang bertaubat dan dibaptis apabila kebangunan rohani mula melanda kota tersebut. Orang ramai sangat bersukacita sehingga mereka menari di jalanan. Bahkan keluarga lelaki yang dibunuh itu memaafkan puak yang bersalah, dan bukannya menuntut bayaran balik. Tidak lama kemudian, sejumlah 1,000 orang hadir ke gereja pada setiap Ahad—di bandar yang penduduknya hanya seramai 1,300 orang!
Kita melihat kebangunan rohani seperti ini dalam Alkitab, seperti yang berlaku pada zaman Hizkia ketika orang ramai kembali kepada Tuhan dengan sukacita (2 Tawarikh 30), dan pada hari Pentakosta ketika beribu-ribu orang bertaubat (Kisah Para Rasul 2:38-47). Walaupun kebangunan rohani adalah pekerjaan Tuhan yang dilakukan pada waktu-Nya, sejarah menunjukkan bahawa doa memainkan peranannya terlebih dahulu. “lalu umat-Ku, … merendahkan diri, berdoa, mencari wajah-Ku, dan berpaling daripada jalan mereka yang jahat” kata Salomo, “maka Aku akan … mengampunkan dosa mereka serta memulihkan negeri mereka” (2 Tawarikh 7:14).
Seperti yang dialami oleh penduduk Aurukun, kebangunan rohani membawa sukacita dan perdamaian dalam sebuah bandar. Bandar-bandar kita amat memerlukan transformasi sedemikian! Ya Bapa, bawakan kebangunan rohani kepada kami juga.