Saya sering rasa geli hati dengan cuti tidak rasmi yang diadakan oleh orang ramai. Ada beberapa cuti yang diadakan pada bulan Februari termasuklah Hari Roti, Hari Menelan Pedang, bahkan ada Hari Penghargaan Biskut Anjing! Hari ini telah dilabelkan sebagai Hari Merendahkan Hati. Diiktiraf secara universal sebagai satu sifat baik, nilai kerendahan hati memang patut diraikan. Tetapi yang menariknya, bukan semua orang menyetujuinya.

Kerendahan hati dianggap sebagai kelemahan, bukan suatu sifat baik di dunia kuno yang lebih menghargai penghormatan. Sudah dijangka bahawa seseorang akan bermegah terhadap pencapaiannya dan berusaha untuk menaikkan status, mustahil seseorang ingin menurun pangkat. Rendah hati dipandang seperti rendah diri, iaitu seperti kedudukan seorang hamba kepada tuan. Tetapi menurut ahli sejarah, semua ini berubah pada waktu penyaliban Yesus. Pada waktu itu, Dia yang “dalam bentuk Allah” menyerahkan status Ilahi-Nya untuk menjadi “seorang hamba” dan “merendahkan diri-Nya” untuk mati bagi orang lain (Filipi 2:6-8). Perbuatan terpuji yang dilakukan Yesus mentakrifkan semula erti kerendahan hati. Menjelang akhir abad pertama, bahkan penulis sekular menyebut kerendahan hati sebagai suatu nilai murni kerana apa yang telah dilakukan oleh Kristus.

Setiap kali seseorang dipuji kerana merendah diri pada hari ini, Injil diberitakan secara halus. Ini kerana tanpa Yesus, kerendahan hati tidak akan menjadi “baik”, atau Hari Merendahkan Hati tidak akan wujud pun. Kristus melepaskan status-Nya untuk kita bagi memaparkan sifat kerendahan hati Tuhan di sepanjang sejarah.