Russell Moore, seorang pengarang dan ahli teologi, menceritakan keadaan sunyi yang ngeri ketika dia berada di sebuah rumah anak yatim di Rusia, tempat yang dia mengambil anak-anak lelakinya sebagai anak angkat. Seseorang kemudian menjelaskan bahawa bayi-bayi itu telah berhenti menangis kerana mereka sedar bahawa tiada sesiapa yang akan memberi respons terhadap tangisan mereka.

Apabila kita menghadapi masa sukar, kita juga dapat merasakan bahawa tiada sesiapa yang mendengar. Keadaan yang paling teruk ialah kita berasa bahawa Tuhan sendiri tidak mendengar tangisan kita atau melihat air mata kita. Tetapi sebenarnya Dia mendengar dan Dia tahu! Itulah sebabnya kita memerlukan kata-kata permohonan dan rayuan yang banyak terdapat dalam Alkitab terutamanya dalam kitab Mazmur. Para pemazmur memohon pertolongan Tuhan dan bersungut tentang keadaan mereka kepada-Nya. Dalam Mazmur 61, Daud membawa permohonan dan sungutannya ke hadapan Penciptanya dengan menyatakan, “aku akan merayu kepada-Mu, ketika hatiku tertekan; bimbinglah aku ke tempat batuan yang lebih tinggi daripadaku” (ayat 2). Daud berseru kepada Tuhan kerana dia tahu bahawa hanya Tuhan tempat yang dia “bernaung” dan Dia ialah “menara perkasa” (ayat 3).

Menaikkan doa permohonan dan rayuan daripada mazmur ialah cara untuk mengesahkan kedaulatan Tuhan serta memohon kebaikan dan kesetiaan-Nya. Tindakan ini membuktikan hubungan akrab yang kita boleh alami dengan Tuhan. Dalam saat-saat sukar, setiap kita boleh tergoda untuk mempercayai pembohongan bahawa Dia tidak peduli. Tetapi Dia sebenarnya sangat peduli. Dia mendengar dan bersama dengan kita.