Pada tahun 2020, perayaan berlangsung untuk menyambut ulang tahun keseratus bagi pelulusan Pindaan Ke-19 dalam Perlembagaan Amerika Syarikat, yang telah memberi golongan wanita hak untuk mengundi. Gambar-gambar lama menunjukkan pengarak dengan sepanduk yang terpampangnya kata-kata daripada Mazmur 68: “Tuhan memberikan perintah-Nya, lalu banyak wanita membawa berita” (ayat 12, TMV).

Dalam Mazmur 68, Daud menerangkan bahawa Tuhan yang membebaskan golongan yang tertindas daripada tawanan mereka (ayat 6), menyegarkan dan memulihkan umat-Nya yang lesu dengan rahmat-Nya yang berlimpah-limpah (ayat 9-10). Dalam 35 ayat Mazmur ini, Daud telah merujuk kepada Tuhan sebanyak 42 kali, dengan menyatakan bahawa Tuhan sentiasa bersama-sama mereka untuk menyelamatkan mereka daripada ketidakadilan dan penderitaan. Dengan itu, sungguh besar perhimpunan wanita yang mengisytiharkan kebenaran ini (ayat 12, TMV).

Tak kiralah sama ada wanita yang berarak untuk hak mengundi pada zaman tersebut memahami apa yang dinyatakan dalam Mazmur 68 dengan sepenuhnya, sepanduk mereka tetap mengisytiharkan kebenaran yang abadi. Tuhan, “bapa kepada anak yatim” dan “pelindung kepada balu” (ayat 5), akan tampil di depan umat-Nya untuk memimpin mereka ke tempat yang penuh berkat, pembaharuan dan sukacita.

Semoga anda mendapat dorongan pada hari ini, dengan mengingati bahawa hadirat Tuhan sentiasa bersama dengan umat-Nya, dan secara istimewa menyertai golongan yang lemah dan yang sedang menderita. Sebagaimana pada zaman dahulu melalui Roh-Nya, hadirat Tuhan yang berkuasa masih menyertai kita pada hari ini.