Ketika saya mengimbas media sosial saya selepas tragedi banjir di selatan Lousiana pada tahun 2016, saya ternampak status yang dipos oleh kawan saya. Selepas menyedari bahawa rumahnya terpaksa dirobohkan dan dibina semula, ibu kawan saya menggalakkan dia mencari Tuhan biarpun semasa menjalankan tugas pembersihan yang amat menyayat hati. Kawan saya kemudiannya mengepos beberapa keping gambar ayat Alkitab yang ditemukannya pada tiang-tiang pintu rumahnya yang terbongkar. Ayat-ayat Alkitab tersebut tampaknya ditulis sewaktu pembinaan rumahnya. Membaca ayat-ayat Alkitab pada papan-papan kayu tersebut telah menghiburkan hatinya.
Tradisi menulis ayat Alkitab pada tiang-tiang pintu mungkin berasal daripada perintah Tuhan kepada orang Israel. Tuhan mengarahkan orang Israel memaparkan perintah-perintah-Nya pada tiang pintu sebagai satu cara untuk mengingati Tuhan. Dengan menyimpan perintah-perintah Tuhan dalam hati mereka (Ulangan 6:6), mengajar anak-anak mereka tentang perintah-Nya (ayat 7), menggunakan simbol atau cara lain untuk mengingati apa yang diperintahkan oleh Tuhan (ayat 8), dan menuliskan ayat Alkitab pada tiang-tiang pintu rumah serta pintu-pintu gerbang mereka (ayat 9), orang Israel sentiasa diingatkan tentang firman Tuhan. Mereka digalakkan supaya tidak sekalipun melupakan apa yang difirmankan Tuhan atau perjanjian mereka dengan-Nya.
Mempamerkan firman Tuhan di rumah kita dan menyemaikan makna firman-Nya di dalam hati kita boleh membantu kita membina asas yang bergantung pada kesetiaan-Nya, seperti dinyatakan dalam Alkitab. Selain itu, Tuhan boleh menggunakan firman-Nya untuk menghiburkan hati kita walaupun pada waktu tragedi atau musibah yang menyayat hati.