Jabat tangan tersebut amat besar maknanya. Pada suatu malam bulan Mac tahun 1963, dua orang pemain bola keranjang universiti—seorang pemain kulit hitam dan seorang pemain kulit putih—telah menentang kebencian para penyokong dasar pengasingan untuk berjabat tangan. Tindakan mereka menandakan kali pertama dalam sejarah negeri Mississippi bahawa pasukan lelaki kulit putih negeri tersebut bermain melawan sebuah pasukan bersepadu (kulit putih dan kulit hitam). Demi bertanding dengan Universiti Loyola Chicago dalam kejohanan kebangsaan pada “titik-titik penentu” ini, skuad negeri Mississippi mengingkari perintah pembatas yang menghalang penyertaan mereka dengan menggunakan pemain-pemain umpan untuk keluar dari negeri mereka. Sementara itu, pemain kulit hitam daripada pasukan Loyola telah menanggung pelbagai jenis penghinaan rasis sepanjang musim, malah dilontari bertih jagung dan ais serta tidak dialu-alukan langsung dalam perjalanan mereka.

Namun pemain-pemain muda tersebut tetap meneruskan perlawanan itu. Pasukan Loyola Ramblers menewaskan pasukan Bulldog Negeri Mississippi dengan skor 61–51 dan mereka akhirnya berjaya memenangi kejuaraan kebangsaan pada musim tersebut. Akan tetapi, apakah kemenangan sebenarnya yang dicapai pada malam tersebut? Tindakan yang beralih daripada kebencian kepada kasih. Seperti yang diajar oleh Yesus, “Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu” (Lukas 6:27).

Perintah Tuhan merupakan konsep yang dapat mengubah kehidupan. Kita haruslah mematuhi mandat revolusi Tuhan untuk berubah supaya kita dapat mengasihi musuh kita sebagaimana yang diajarkan oleh Kristus. Seperti yang ditulis oleh Paulus, “Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru” (2 Korintus 5:17). Namun, bagaimanakah ciptaan baru-Nya yang ada dalam diri kita mampu menewaskan yang lama? Jawapannya adalah dengan kasih. Dengan itu, kita akhirnya boleh melihat Kristus dalam sesama diri kita.