Foto manusia hidup yang pertama dalam sejarah ditangkap oleh Louis Daguerre pada tahun 1838. Foto tersebut menggambarkan seorang lelaki di sebuah jalan yang kosong di Paris pada waktu tengah hari. Namun foto tersebut nampaknya mempunyai sesuatu misteri yang ketara; jalan raya dan laluan pejalan kaki di jalan tersebut sepatutnya sibuk sekali dengan lalu lintas kereta kuda dan pejalan kaki pada waktu tengah hari, tetapi tiada yang kelihatan.

Sebenarnya lelaki dalam foto tidak keseorangan pada waktu tersebut. Orang ramai dan kereta kuda sememangnya wujud di Boulevard Du Temple yang sibuk dan popular, iaitu tempat foto tersebut diambil. Mereka hanya tidak muncul dalam gambar tersebut. Pada zaman itu, masa pendedahan untuk memproses foto (juga dikenali sebagai Daguerreotype) memerlukan tujuh minit untuk menangkap sesuatu imej yang tidak boleh bergerak langsung pada jangka masa tersebut. Rupa-rupanya lelaki di laluan pejalan kaki itu seorang sahaja ditangkap dalam foto tersebut kerana hanya dia seorang yang berdiri diam tanpa bergerak, kerana pada waktu itu dia sedang menunggu kasutnya dikilatkan.

Kadangkala, berdiam dapat mencapai sesuatu yang tidak tercapai oleh gerakan dan daya usaha. Tuhan berfirman kepada umat-Nya dalam Mazmur 46:10, “ Diamlah, dan ketahuilah Aku Allah,” Walaupun “kerajaan-kerajaan bergoncang” (ayat 6), atau “bumi ini diganjakkan” (ayat 2), sesiapa yang percaya kepada Tuhan secara tenang akan mendapati-Nya “sentiasa sedia menolong pada waktu kesusahan” (ayat 1).

Kata kerja Ibrani “diamlah” boleh juga diterjemahkan sebagai “berhenti bertungkus-lumus.” Apabila kita bergantung pada Tuhan dan bukannya bergantung pada kemampuan kita yang terhad, kita akan mendapati Tuhan sebagai “Pelindung dan Pemberi kekuatan” (ayat 1) kita yang tidak dapat disangkal.