Pada penghujung abad ke 1800-an, manusia di beberapa tempat yang berlainan telah menghasilkan sumber pelayanan yang hampir serupa pada masa yang sama. Yang pertama adalah di Montreal, Kanada pada tahun 1877. Pada tahun 1898 pula, konsep yang lain telah dilancarkan di Bandaraya New York. Menjelang tahun 1922, terdapat hampir lima ribu program sebegini yang giat aktif di Amerika Utara pada setiap musim panas.
Demikianlah bermulanya sejarah awal Sekolah Alkitab Percutian (Vacation Bible School, VBS). Semangat hati waja para perintis VBS berbara oleh keinginan mereka untuk berkongsi Alkitab kepada golongan muda.
Paulus juga bersemangat sedemikian untuk anak didiknya yang muda, iaitu Timotius. Dia menulis bahawa “Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah” dan melengkapi kita “untuk melakukan segala kerja yang baik” (2 Timotius 3:16-17). Namun, ini bukanlah setakat cadangan baik tentang “eloknya membaca Alkitab anda.” Teguran Paulus menyusuli amaran yang menggerunkan bahawa “pada akhir zaman, akan datang suatu masa yang sukar” (ayat 1), dan guru-guru palsu yang “sentiasa belajar tetapi tidak menerima kebenaran” (ayat 7). Oleh itu, betapa pentingnya untuk kita melindungi diri kita dengan menggunakan Alkitab kerana ia membenamkan kita dalam pengetahuan tentang Penyelamat kita, dan menjadikan kita dapat “mengenal Kitab Suci yang dapat memberimu kebijaksanaan untuk diselamatkan melalui iman dalam Kristus Yesus” (ayat 15).
Mempelajari Alkitab bukanlah hanya untuk golongan kanak-kanak; tetapi juga untuk golongan orang dewasa. Begitu juga bukan dilakukan pada musim panas sahaja; tetapi setiap hari. Paulus menulis kepada Timotius bahawa “sejak kecil kamu telah mengenal Kitab Suci” (ayat 15), tetapi tidaklah terlalu lewat untuk bermula sekarang untuk mengenalnya. Tak kiralah dalam apa jua peringkat umur kita, hikmah Alkitab dapat menghubungkan kita dengan Yesus. Inilah pengajaran VBS daripada Tuhan kepada setiap kita.