Semasa saya menolong Logan, cucu saya yang berumur 11 tahun dalam kerja rumah algebranya yang agak sukar, dia memberitahu saya tentang cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera. Selepas kami mengalihkan tumpuan kami kepada penyelesaian nilai x dan y dalam tugasannya, dia pun berkata, “Bilakah saya akan menggunakan algebra?”

Saya pun tersenyum lalu menjawab, “Logan, ilmu inilah yang akan kamu gunakan jika kamu menjadi seorang jurutera!” Dia belum sedar hubungan antara algebra dan kerjaya masa depan yang diimpikannya .

Kadangkala kita juga mempunyai pandangan yang sama mengenai Kitab Suci. Apabila kita mendengar khutbah atau membaca petikan tertentu daripada Alkitab, kita mungkin berfikir, “Bilakah saya akan menggunakan ayat Alkitab ini?” Pemazmur Daud mempunyai jawapan untuk soalan ini. Daud berkata bahawa kebenaran Tuhan yang ditemukan dalam Kitab Suci adalah berkesan untuk “mengubah jiwa,” “memberi kebijaksanaan kepada orang yang tulus,” dan “menggembirakan hati” (Mazmur 19:7-8). Hikmah Kitab Suci yang ditemukan dalam lima kitab pertama Alkitab seperti yang dirujuk dalam Mazmur 19 (begitu juga dengan keseluruhan Kitab Suci), dapat menolong kita apabila kita bergantung pada pimpinan Roh Kudus setiap hari (Amsal 2:6).

Tanpa Kitab Suci, kita tidak ada sumber panduan yang penting yang telah disediakan Tuhan kepada kita untuk mengalami hadirat-Nya dan mengetahui kasih serta jalan-Nya secara mendalam. Mengapakah kita perlu mengkaji Alkitab? Sebab “Perintah TUHAN suci, memberi pengertian (Mazmur 19:8).