Selepas bertahun-tahun penyelidikan, para saintis mendapati serigala menghasilkan bunyi tersendiri untuk saling berkomunikasi. Dengan menggunakan kod analisis bunyi yang khusus, seorang saintis menyedari bahawa pelbagai tahap kelantangan dan nada dalam raungan seekor serigala membolehkan dia mengenal pasti serigala-serigala tertentu dengan ketepatan seratus peratus.

Alkitab memberikan banyak contoh tentang cara Tuhan mengenal suara tersendiri ciptaan-Nya yang dikasihi. Tuhan memanggil Musa dengan namanya dan berfirman kepadanya secara langsung (Keluaran 3:4-6). Pemazmur Daud mengumumkan, “Kepada TUHAN aku berseru lantang, dan Dia menyahut seruanku dari bukit suci-Nya” (Mazmur 3:4). Rasul Paulus juga menekankan betapa pentingnya umat Tuhan mengenal suara-Nya.

Apabila mengucapkan selamat tinggal kepada para penyelia jemaah Efesus, Paulus berkata bahawa dia “mentaati perintah Roh Kudus” untuk menuju ke Yerusalem. Paulus bertekad untuk mentaati suara Tuhan, walaupun dia tidak tahu apa yang dijangkakan sesampai dia di Yerusalem (Kisah Para Rasul 20:22). Paulus memberikan amaran bahawa “serigala garang” akan bangkit dan “memesongkan ajaran yang benar”, bahkan bangkit daripada jemaah sendiri (ayat 29-30). Kemudian, Paulus menggalakkan para penyelia jemaah kekal tekun untuk mengenal pasti kebenaran Tuhan (ayat 31).

Semua orang percaya dalam Yesus mempunyai hak istimewa bahawa Tuhan sentiasa mendengar dan menjawab kita. Selain itu, kita mempunyai kuasa Roh Kudus yang menolong kita mengenal suara Tuhan, yang sentiasa selaras dengan firman dalam Kitab Suci.