Sejak beberapa dekad yang lepas, perkataan baru “but semula” (reboot) telah muncul dalam kosa kata perfileman. Dalam bahasa pawagam, but semula bermaksud mengambil sebuah cerita yang lama dan “menghidup lompatkannya”, iaitu memberinya permulaan yang baru. Sesetengah cerita but semula mengulang sebuah kisah adiwira atau cerita dongeng yang dikenali ramai. Selain itu, ada juga mengambil cerita yang kurang dikenali dan menceritakannya semula dengan cara yang baru. Walau apa pun caranya, setiap hasil but semula mirip olahan semula sesuatu cerita atau filem. Terdapat permulaan yang baru, dengan peluang untuk membawa nafas baru kepada yang lama.

Terdapat sebuah cerita lain yang juga melibatkan unsur but semula—cerita Injil. Dalam cerita ini, Yesus mengajak kita menerima pengampunan yang ditawarkan-Nya, dan hidup yang berlimpah-limpah lagi kekal (Yohanes 10:10). Dalam kitab Ratapan, Yeremia mengingatkan kita bahawa kasih Tuhan terhadap kita menjadikan setiap hari umpama sejenis “but semula”: “Kerana kasih setia TUHAN tidak pernah lenyap, belas kasihan-Nya tidak akan pudar. Semuanya baru setiap pagi. Besarnya kesetiaan-Mu! (3:22-23).

Kasih kurnia Tuhan meminta kita menyambut setiap hari sebagai peluang baru untuk mengalami kesetiaan-Nya. Sama ada kita sedang bergelut dengan kesan daripada kesilapan diri kita sendiri atau mengharungi kesusahan lain dalam kehidupan, Roh Tuhan boleh memberikan pengampunan, hidup baru dan harapan untuk setiap hari yang baru. Setiap hari merupakan sejenis but semula untuk kehidupan kita, satu peluang untuk mengikut pimpinan Pengarah yang agung, iaitu Tuhan yang sedang mengarang cerita kita ke dalam karya-Nya yang lebih besar.