Penduduk di Sepanyol Utara mempunyai cara yang indah untuk memperlihatkan perhubungan dan persahabatan. Dengan tinggal di kawasan luar bandar yang penuh dengan gua buatan manusia, sesetengah petani akan meluangkan masa mereka di dalam sebuah bilik yang dibina di atas gua selepas setiap musim penuaian, lalu menuliskan pelbagai jenis makanan mereka ke dalam inventori. Dengan peredaran masa, bilik tersebut dikenali sebagai “bilik bual”—sebuah tempat perjamuan yang sahabat handai dan kaum keluarga akan berkumpul untuk berkongsi cerita, rahsia dan cita-cita mereka. Jika anda memerlukan teman akrab yang boleh dipercayai, bilik itulah yang akan anda tujui.
Andai kata Yonatan dan Daud hidup di utara Sepanyol, mereka mungkin juga akan membina bilik bual disebabkan persahabatan akrab mereka. Apabila Raja Saul berasa begitu cemburu sehingga dia ingin membunuh Daud, anak sulung Raja Saul, iaitu Yonatan, melindungi Daud dan menjadi sahabatnya. Kedua-dua jiwa mereka itu menjadi berpadu (1 Samuel 18:1), dan Yonatan “mengasihi Daud seperti mengasihi dirinya sendiri” (ayat 1, 3). Walaupun Yonatan merupakan pewaris sah kepada takhta, dia mengiktiraf pilihan Tuhan yang melantik Daud sebagai raja. Yonatan memberikan jubah, pedang, busur panah dan ikat pinggangnya kepada Daud (ayat 4). Kemudian hari, Daud mengisytiharkan betapa indahnya kasih Yonatan kepadanya sebagai seorang sahabat (2 Samuel 1:26).
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, semoga Dia menolong kita membina “bilik bual” sesama kita—persahabatan yang memancarkan kasih dan keprihatinan Kristus. Marilah kita meluangkan masa untuk mendampingi sahabat handai kita, membuka hati kita kepada mereka dan hidup dalam perhubungan yang sejati dengan sesama lain dalam Kristus.