Chuck, seorang pelakon dan ahli seni mempertahankan diri, telah memberikan penghargaan kepada ibunya. Pada hari jadinya yang keseratus tahun, Chuck berkongsi bagaimana ibunya memainkan peranan penting dalam transformasi kehidupan rohaninya. “Ibul saya memberi teladan tentang ketabahan dan iman”, tulis Chuck. Ibu Chuck telah membesarkan tiga orang anak lelaki seorang diri pada Zaman Kemelesetan Besar; mengalami kematian dua pasangan hidupnya, seorang anak lelaki, seorang anak tiri lelaki, dan beberapa orang cucu; selain menjalani pembedahan berkali-kali. “Ibu telah berdoa untuk sepanjang hidupku, baik masa susah mahupun senang.” Chuck menyambung, “Apabila aku nyaris-nyaris menggadai imanku kepada Hollywood, ibu tetap sentiasa mendoakan kejayaan dan penyelamatanku.” Dia mengakhiri kata-katanya, “Aku berterima kasih kepada ibu kerana dia memohon Tuhan agar aku menjalani kehidupan yang sepatutnya.”

Doa-doa ibu Chuck telah menolong dia menemukan penyelamatan—dan seorang isteri yang salih. Ibunya telah berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk anaknya, dan Tuhan mendengar doanya. Doa kita tidak selalunya dijawab seperti yang kita inginkan, justeru itu, kita tidak boleh menganggap doa seperti sebatang tongkat sakti. Namun Yakobus meyakinkan kita bahawa “Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat” (5:16). Seperti ibu Chuck, kita hendaklah terus berdoa untuk mereka yang sakit dan menghadapi masalah (ayat 13-15). Apabila kita, seperti ibu Chuck, berhubung dengan Tuhan melalui doa, kita akan menemukan dorongan dan damai sejahtera di samping keyakinan bahawa Roh Kudus sedang giat bekerja.

Adakah sesiapa dalam kehidupan anda yang memerlukan keselamatan, penyembuhan atau pertolongan? Panjatkanlah doa anda kepada Tuhan dengan penuh iman. Tuhan sentiasa mendengar.