Perpindahan tempat tinggal dikatakan adalah salah satu tekanan yang paling besar dalam kehidupan. Selepas menduduki rumah lama hampir dua puluh tahun, kami telah berpindah ke rumah sekarang. Saya tinggal seorang diri di rumah lama tersebut selama lapan tahun sebelum saya berkahwin. Selepas itu, suami saya berpindah masuk dengan membawa segala barang miliknya. Tidak lama kemudian, kami menimang anak, dan itu bermakna bahawa barang-barang di rumah juga bertambah.

Hari perpindahan ke rumah baharu kami bukanlah selancar yang kami harapkan. Lima minit sebelum pekerja upahan tiba di rumah kami, saya masih menyiapkan manuskrip buku saya. Selain itu, rumah baharu kami mempunyai beberapa set tangga. Oleh itu kerja perpindahan mengambil masa dua ganda dan memerlukan pekerja dua kali banyaknya berbanding dengan apa yang kami rancang.

Namun saya tidak berasa tertekan tentang peristiwa yang terjadi pada hari itu. Kemudian saya tahu sebabnya: Saya meluangkan masa berjam-jam untuk menulis sebuah buku—yang berisi padat dengan ayat Alkitab dan konsep yang berdasarkan Alkitab. Disebabkan berkat kasih kurnia Tuhan, saya berpeluang meneliti Alkitab, berdoa dan tekun menulis untuk menepati tarikh akhir saya. Oleh itu, saya percaya bahawa kuncinya saya adalah tenang kerana saya menyelamkan diri dalam firman Tuhan dan doa.

Paulus menulis, “Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah” (Filipi 4:6). Apabila kita berdoa—dan “bersukacitalah” dalam Tuhan (ayat 4)—kita memfokuskan fikiran kita semula kepada Tuhan Pembekal kita. Kita mungkin memohon Tuhan menolong kita menangani tekanan kita, tetapi sekali gus kita juga berhubung dengan Dia, yang boleh memberi kita sejahtera yang “melebihi pengertian manusia” (ayat 7).