Umur sebenar mereka tidak diketahui. Seorang daripada mereka telah ditemukan di anak tangga sebuah gereja; yang seorang lagi hanya tahu bahawa dirinya dibesarkan oleh para biarawati. Mereka dilahirkan di Poland pada waktu Perang Dunia Kedua. Selama hampir lapan puluh tahun, Halina dan Krystyna tidak mengenali satu sama lain. Kemudian, keputusan ujian DNA telah membuktikan mereka ialah adik-beradik kandung dan membawa pertemuan semula yang menggembirakan. Selain itu, ujian DNA tersebut juga membuktikan kedua-dua mereka itu berketurunan Yahudi. Itu menjelaskan sebabnya mereka ditinggalkan. Orang jahat telah berniat membunuh adik-beradik tersebut semata-mata kerana identiti mereka sebagai orang Yahudi.

Gambaran tentang ibu yang ketakutan lalu meninggalkan anak-anaknya yang terancam dengan harapan mereka mungkin akan diselamatkan mengingatkan kita tentang cerita Musa. Sebagai seorang bayi lelaki Ibrani, dia telah tergolong dalam senarai pembunuhan beramai-ramai (lihat Keluaran 1:22). Secara strategiknya, ibu Musa meninggalkannya di tepi Sungai Nil (2:3), kemudian memberi Musa peluang untuk terus hidup. Tuhan mempunyai rancangan untuk Musa yang sama sekali tidak pernah diimpikan oleh ibu Musa, iaitu membebaskan umat-Nya melalui Musa.

Cerita Musa telah menunjukkan kita kepada cerita Yesus. Sebagaimana Firaun memberi perintah untuk membunuh semua kanak-kanak lelaki kaum Ibrani, Herodes juga pernah mengeluarkan perintah untuk membunuh semua bayi lelaki di Betlehem (lihat Matius 2:13-16).

Di sebalik segala kebencian sebegini—terutamanya terhadap kanak-kanak—ialah musuh kita, iaitu Iblis. Keganasan sebegini tidak mengejutkan Tuhan. Tuhan sudah mempunyai rancangan untuk Musa, Dia juga mempunyai rancangan untuk anda dan saya. Melalui Anak-Nya, Yesus, Tuhan telah memperlihatkan rancangan terbesar-Nya—menyelamatkan dan memulihkan mereka yang dahulu merupakan musuh-musuh-Nya.