Semasa saya masih kecil, sebuah kereta kebal Perang Dunia Kedua yang tidak digunakan lagi telah dipamerkan di sebuah taman berdekatan rumah saya. Terdapat pelbagai papan tanda yang memberikan amaran tentang bahayanya memanjat kenderaan tersebut, tetapi beberapa orang kawan saya tidak mengendahkan amaran itu dan segera merangkak menaiki kereta kebal tersebut. Sesetengah kami agak keberatan, tetapi akhirnya kami juga merangkak naik. Seorang budak lelaki yang enggan menyertai kami, menuding ke arah papan-papan tanda amaran yang telah didirikan. Seorang lagi dengan pantasnya melompat turun apabila seorang dewasa mendekati kami. Godaan untuk berseronok jauh mengatasi keinginan kami untuk mematuhi peraturan.

Terdapat sifat pemberontak kebudak-budakan yang bersembunyi di dalam hati setiap kita. Kita tidak suka diberitahu apa yang patut dilakukan dan apa yang tidak. Namun seperti yang kita baca dalam kitab Yakobus, bahawa apabila kita mengetahui apa yang sepatutnya dilakukan tetapi tidak melakukannya—itulah dosa (4:17). Dalam kitab Roma, rasul Paulus menulis: “Kerana yang kulakukan bukanlah kebaikan yang hendak kulakukan; tidak, kejahatan yang tidak hendak kulakukan—itulah yang kulakukan terus-menerus. Jika aku melakukan sesuatu yang tidak ingin kulakukan, bukanlah lagi aku yang melakukannya tetapi dosa yang hidup dalam dirikulah yang melakukan” (7:19-20).

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita mungkin kebingungan memikir-mikirkan pergelutan kita dengan dosa. Akan tetapi, kebanyakan masanya kita bergantung semata-mata pada kekuatan diri sendiri untuk melakukan apa yang betul. Satu hari nanti sesudah berakhirnya kehidupan ini, kita akan benar-benar mati terhadap nafsu-nafsi dosa. Bagaimanapun, sehinggalah hari itu tiba, kita boleh bergantung pada kuasa Yesus yang mati pada kayu salib dan bangkit untuk menakluki kemenangan yang menentang dosa.