Pada Ahad Paskah 2020, patung Kristus Penebus yang terkenal dan menghadap bandar Rio de Janeiro di Brazil diterangi lampu sehingga kelihatan seperti Yesus memakai pakaian seorang doktor. Gambaran yang menyentuh hati tentang Kristus sebagai seorang doktor ialah penghormatan kepada ramai pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan yang memerangi pandemik coronavirus. Imejan itu menghidupkan gambaran umum tentang Yesus sebagai Doktor Agung kita (Markus 2:17).
Yesus menyembuhkan ramai orang daripada penderitaan fizikal mereka semasa pelayanan-Nya di bumi, misalnya Bartimeus yang buta (10:46-52), seorang yang berpenyakit kusta (Lukas 5:12-16), dan seorang yang lumpuh (Matius 9:1-8), dan banyak lagi. Keprihatinan Yesus terhadap kesihatan orang yang mengikut-Nya juga ditunjukkan dalam mukjizat bahawa makanan yang sederhana dilipatgandakan untuk memberi makan kepada 5000 orang (Yohanes 6:1-13). Setiap mukjizat ini menunjukkan kuasa Yesus dan kasih-Nya yang sejati kepada manusia.
Bagaimanapun, penyembuhan Yesus yang terbesar ditunjukkan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, seperti nubuat yang diberitahu oleh nabi Yesaya. Penderitaan kita yang paling teruk adalah perpisahan kita daripada Tuhan akibat dosa kita (Yesaya 53:5), namun “oleh bilur-bilur [Yesus] kita sembuh” Walaupun Yesus tidak menyembuhkan semua masalah kesihatan kita, kita boleh mempercayai Dia akan menyembuhkan keperluan terdalam kita: penyembuhan dalam hubungan kita dengan Tuhan.