Hanya beberapa hari sebelum Minggu Kudus, apabila umat Kristian di seluruh dunia mengingati pengorbanan Yesus dan meraikan kebangkitan-Nya, seorang pengganas menyerbu masuk ke sebuah pasar raya di barat daya Perancis dan melepaskan tembakan sehingga dua orang terbunuh. Selepas rundingan, pengganas itu membebaskan semua kecuali seorang tebusan, yang dijadikannya perisai manusia. Walaupun menyedari keadaan yang bahaya itu, pegawai polis yang bernama Arnaud Beltrame melakukan perkara yang tidak diduga: dia menawarkan diri untuk menggantikan wanita itu. Pengganas itu membebaskan wanita tersebut, tetapi dalam pergelutan berikutnya Beltrame cedera dan kemudian meninggal dunia.
Seorang pendeta yang mengenali pegawai polis itu mengaitkan kepahlawanannya dengan imannya dalam Yesus, menunjuk kita kata-kata-Nya dalam Yohanes 15:13: “Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.” Itulah kata-kata yang diucapkan oleh Kristus kepada murid-murid-Nya selepas mereka makan bersama untuk kali terakhir. Dia memberitahu kawan-kawan-Nya, “Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu” (ayat 12) dan kasih yang paling besar adalah mengorbankan nyawa sendiri untuk orang lain (ayat 13). Inilah yang dilakukan oleh Yesus pada keesokan harinya, apabila Dia disalibkan untuk menyelamatkan kita daripada dosa kita—kerana hanya Dia yang mampu melakukannya.
Kita mungkin tidak pernah dipanggil untuk mengikuti kepahlawanan Arnaud Beltrame. Tetapi apabila kita kekal tinggal dalam kasih Tuhan, kita boleh melayani orang lain dengan pengorbanan, mengetepikan rancangan dan keinginan kita sendiri, serta berusaha untuk berkongsi kisah kasih-Nya yang agung.