Apabila jemaah kami membina bangunan pertama kami, orang ramai menulis ayat-ayat kesyukuran sebagai kenang-kenangan pada kancing dinding dan lantai konkrit sebelum bahagian dalam bangunan itu siap. Ayat demi ayat daripada firman Tuhan ditulis bersebelahan dengan doa pujian seperti “Engkau sangat baik!” Kami mengekalkan tulisan itu di dinding sebagai saksi bagi generasi akan datang bahawa walau apa pun cabaran kami, Tuhan itu sangat baik dan selalu menjaga kami.

Kita perlu mengingati apa yang telah dilakukan Tuhan untuk kita dan memberitahu orang lain mengenainya. Inilah yang dilakukan oleh Yesaya apabila dia menulis, “Aku hendak memasyhurkan kasih abadi TUHAN, puji-pujian kepada TUHAN atas semua yang dilakukan TUHAN terhadap kita, dan kebajikan besar bagi keturunan kaum Israel yang dilakukan-Nya terhadap mereka menurut kasih sayang-Nya serta menurut kasih abadi-Nya yang berlimpah” (Yesaya 63:7). Kemudian, nabi itu juga menceritakan belas kasihan Tuhan kepada umat-Nya sepanjang sejarah mereka, malah menceritakan bagaimana “dalam segala kesesakan mereka, Dia pun turut berasa sesak” (ayat 9). Tetapi jika anda terus membaca fasal itu, anda akan melihat Israel sekali lagi berada dalam masa kesusahan, dan nabi sangat mengharapkan campur tangan Tuhan.

Dengan mengingati kebaikan Tuhan pada masa lalu, itu boleh membantu kita pada masa sukar. Musim yang mencabar datang dan pergi, tetapi sifat setia Tuhan tidak pernah berubah. Apabila kita mencari Dia dengan hati yang bersyukur dan mengingatkan semua yang telah dilakukan-Nya, kita akan menemukan semula bahawa Tuhan sentiasa layak menerima pujian kita.