Sara kehilangan ibunya ketika dia baru berusia 14 tahun. Tidak lama kemudian dia dan adik-beradiknya kehilangan tempat tinggal dan menjadi gelandangan. Bertahun-tahun kemudian, Sara ingin menyediakan warisan kepada bakal anak-anaknya yang boleh diturunkan daripada generasi kepada generasi seterusnya. Maka dia bekerja keras untuk membeli sebuah rumah, memberikan keluarganya sebuah rumah yang stabil dan tidak pernah dimilikinya.

Tindakan melabur sebuah rumah untuk generasi akan datang merupakan tindakan iman terhadap masa depan yang belum anda lihat. Tuhan memberitahu nabi Yeremia untuk membeli tanah sejurus sebelum pengepungan orang Babel yang kejam mendadak Yerusalem (Yeremia 32:6-12). Bagi nabi itu, arahan Tuhan tidak masuk akal. Ini kerana tidak lama kemudian semua harta dan kepunyaan mereka akan dirampas.

Namun Tuhan memberikan janji ini kepada Yeremia: “Sebagaimana Aku telah mendatangkan bagi bangsa ini segala malapetaka yang besar itu, demikianlah Aku akan mendatangkan bagi mereka segala kebaikan yang telah Kujanjikan kepada mereka” (ayat 42). Pelaburan nabi itu dalam harta ialah tanda fizikal tentang kesetiaan Tuhan, bahawa pada suatu hari nanti, Dia akan membawa orang Israel kembali ke tanah air mereka. Walaupun di tengah-tengah serangan yang dahsyat, Tuhan berjanji kepada umat-Nya bahawa kedamaian akan dipulihkan semula—rumah dan harta benda akan dibeli dan dijual semula (ayat 43-44).

Hari ini kita boleh meletakkan kepercayaan kita pada kesetiaan Tuhan dan memilih untuk “melabur” dalam iman. Walaupun kita mungkin tidak melihat pemulihan secara duniawi dalam setiap keadaan, kita dijanjikan bahawa suatu hari nanti Dia akan memperbaiki segalanya.