Bagi kebanyakan orang di seluruh dunia, kehidupan ini semakin sunyi. Bilangan rakyat Amerika yang tidak mempunyai kawan telah meningkat sebanyak empat kali ganda sejak tahun 1990. 20 peratus penduduk di beberapa negara Eropah berasa kesunyian Sementara di Jepun, beberapa orang tua melakukan jenayah supaya mereka boleh berkawan dengan banduan di penjara.

Para usahawan telah mencadangkan “penyelesaian” bagi epidemik kesepian ini—menyewa seorang kawan. Dengan diupah mengikut jam, orang ini akan berjumpa anda di kafe untuk berbual-bual atau menemani anda ke pesta. Seorang “rakan” yang diupah telah ditanya siapa pelanggannya. Katanya, “Para profesional yang berusia 30 hingga 40 tahun yang kesepian, yang bekerja berjam-jam dan tidak mempunyai masa untuk mencari ramai kawan.”

Pengkhutbah 4 menggambarkan seorang yang bersendirian, “tiada anak lelaki atau saudara lelaki.” Biarpun dia “tidak henti-henti berusaha dengan jerih lelah, namun matanya tetap tidak puas” (ayat 8). “Untuk siapakah aku berjerih lelah”, dia bertanya, tersedar akan nasibnya. Jauh lebih baik untuk melabur dalam perhubungan, yang akan menjadikan beban kerjanya lebih ringan dan menyediakan bantuan ketika dalam masalah (ayat 9-12). Ini kerana akhirnya, kejayaan tanpa persahabatan adalah “kesia-siaan” (ayat 8).

Pengkhutbah memberitahu kita bahawa tiga utas tali tidak mudah diputuskan (ayat 12). Tetapi tali untaian itu juga tidak dapat dipintal dengan cepat. Oleh sebab sahabat sejati tidak dapat disewa, marilah kita melaburkan masa yang diperlukan untuk membentuknya, dengan Tuhan sebagai untaian ketiga bagi kita supaya jalinan kita erat bersama.