Sifat berjimat makcik Margaret memang diketahui semua orang. Selepas dia meninggal dunia, anak saudaranya menyusun barang-barang mendiang yang ada kenangan pahit manisnya. Mereka menemui pelbagai jenis tali pendek tersusun kemas di dalam beg plastik kecil yang berlabel: “Tali terlalu pendek untuk digunakan” di dalam laci.
Apakah yang mendorong seseorang menyimpan dan mengkategorikan sesuatu yang mereka tahu tidak berguna? Mungkin orang ini pernah mengalami masalah kekurangan keperluan yang amat teruk.
Apabila orang Israel melarikan diri daripada perhambaan di Mesir, mereka meninggalkan kehidupan yang sukar. Namun tidak lama kemudian, mereka melupakan pertolongan Tuhan yang ajaib ketika keluar dari tempat itu dan mula bersungut tentang kekurangan makanan.
Tuhan mahu mereka percaya kepada-Nya. Dia menyediakan manna atau roti sebagai makanan mereka di padang gurun. Tuhan memberitahu Musa, “Tiap-tiap hari bangsa itu harus keluar untuk memungut keperluan satu hari secukupnya” (Keluaran 16:4). Tuhan juga mengarahkan mereka mengumpulkan manna dua kali lebih banyaknya pada hari ke-6, kerana pada hari Sabat tiada manna akan turun (ayat 5, 25). Sesetengah orang Israel mendengar arahan itu, tetapi ada yang tidak, dan hasilnya dapat dijangka (ayat 27-28). Biasanya apabila kita mengalami hidup yang lebih daripada kecukupan atau mengalami serba kekurangan, kita tergoda untuk cuba menahan apa yang kita ada, bahkan ada yang menyorokkannya. Sebenarnya, kita tidak perlu menanggung segala perkara dengan sendiri, kita tidak perlu “menyimpan sisa tali”—atau menyorok apa-apa pun. Kita seharusnya beriman kepada Tuhan yang telah berjanji, “Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu” (Ibrani 13:5).