Sementara menunggu kereta api di sebuah stesen di Atlanta, Georgia, seorang lelaki muda yang memakai seluar dan kemeja berbutang duduk di atas bangku. Semasa dia dengan payah mengenakan tali lehernya, seorang wanita yang lebih tua mendorong suaminya membantu pemuda itu. Apabila lelaki tua itu membongkok dan mula mengajar lelaki muda itu cara mengikat tali lehernya, seorang yang tidak dikenali mengambil gambar mereka bertiga. Apabila foto ini menular atas talian, ramai penonton memberikan komen tentang kuasa tindakan spontan yang melakukan kebaikan kepada orang lain.

Bagi orang Kristian, berbuat baik kepada orang lain mencerminkan sikap rela berkorban yang ditunjukkan oleh Yesus kepada orang-orang seperti kita. Inilah ungkapan kasih Tuhan dan kehidupan yang Dia ingin ditunjukkan oleh para murid-Nya: “Kita harus kasih-mengasihi” (1 Yohanes 3:11). Yohanes mengatakan sesiapa yang membenci saudara lelaki atau perempuan ialah pembunuh (ayat 15). Kemudian dia mendorong kita dengan teladan Kristus yang bertindak dalam kasih (ayat 16).

Kasih yang disertakan pengorbanan tidak semestinya ditunjukkan dengan pengorbanan yang luar biasa. Kasih yang tidak mementingkan diri hanya memerlukan kita mengakui nilai semua pembawa imej Tuhan, dengan mengutamakan keperluan mereka melebihi keperluan kita sendiri … setiap hari. Saat-saat yang kelihatan biasa apabila kita cukup mengambil berat keperluan orang lain, serta melakukan apa yang mampu untuk membantu orang atas dorongan kasih, inilah kasih yang tidak mementingkan diri. Apabila kita melihat di luar batas peribadi kita, keluar dari zon selesa untuk memberi dan melayani orang lain, terutamanya saat kita tidak perlu memberi, kita sedang belajar untuk mengasihi orang seperti Yesus.