Sebuah berita pada tahun 2021 melaporkan bahawa 17 orang mubaligh telah diculik oleh sekumpulan geng. Geng itu mengancam untuk membunuh kumpulan tersebut (termasuk kanak-kanak) jika tuntutan wang tebusan mereka tidak dipenuhi. Sungguh mengagumkan, akhirnya semua mubaligh itu sama ada dilepaskan atau melarikan diri daripada tawanan. Ketika mereka tiba di tempat selamat, mereka menghantar mesej kepada penculik-penculik mereka: “Yesus mengajar kami melalui perkataan dan teladan-Nya sendiri bahawa kuasa kasih yang mengampuni lebih kuat daripada kebencian terhadap kekerasan. Oleh itu, kami mengampuni kamu semua.”

Yesus menjelaskan bahawa pengampunan itu berkuasa. Dia berkata, “Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga” (Matius 6:14). Kemudian Kristus menjawab Petrus tentang soalannya berapa kali kita harus mengampuni: “Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali” (18:22; lihat ayat 21-35). Semasa dipaku pada kayu salib, Yesus menunjukkan pengampunan Tuhan ketika Dia berdoa, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka” (Lukas 23:34).

Pengampunan sepenuhnya dapat menjadi kenyataan apabila kedua-dua pihak dengan rela hati mencari penyembuhan dan perdamaian. Walaupun mengampuni tidak dapat menghilangkan kesan kerosakan yang telah berlaku, malah seseorang masih perlu menghadapi hubungan yang menyakitkan atau tidak sihat, namun pengampunan boleh memulihkan hubungan—menyatakan kasih dan kuasa Tuhan. Demi memuliakan Tuhan, ayuh kita mencari jalan untuk sentiasa sedia mengampuni.