Krubera-Voronja yang terletak di Georgia, sebuah negara Eurasia, merupakan salah sebuah gua terdalam yang belum diterokai di planet Bumi. Sepasukan penjelajah telah menjelajahi kedalaman yang gelap dan menakutkan di gua yang tegaknya hampir hingga 2,197 meter—iaitu 7,208 kaki ke dalam bumi! Kira-kira 400 buah gua yang serupa juga wujud di bahagian-bahagian lain di negara ini dan di seluruh dunia. Semakin banyak gua sedang ditemui sepanjang masa dan rekod kedalaman baharu sedang ditetapkan.

Misteri penciptaan terus terungkap, mengubah dan menambah pemahaman kita tentang alam semesta yang kita diami, dan membuat kita kagum akan kreativiti ciptaan Tuhan yang tiada tolok bandingnya. Pemazmur mengajak kita “menyanyi untuk TUHAN” dan “bersorak riang” kepada Tuhan kerana kebesaran-Nya (ayat 1). Karya ciptaan Tuhan—semua yang terkandung di dalamnya, sama ada kita telah menemuinya atau tidak—adalah sebabnya kita sujud menyembah Dia (ayat 6).

Tuhan bukan hanya mengetahui tempat-tempat fizikal ciptaan-Nya yang luas; Dia juga mengetahui kedalaman isi hati kita. Seperti gua-gua di Georgia, kita akan melalui musim gelap bahkan masa yang menakutkan dalam hidup ini. Namun kita tahu bahawa kita berada dalam penjagaan Tuhan yang berkuasa dan lemah lembut. Seperti kata-kata pemazmur, kita ialah umat-Nya, “kawanan domba di bawah tangan-Nya” (ayat 7).