Pada musim bunga tahun ini, rumpai menyerang halaman belakang rumah kami seperti sesuatu yang keluar daripada filem Jurassic Park. Ada satu yang terlalu besar sehingga ketika saya cuba mencabutnya, saya takut saya sendiri mungkin tercedera. Sebelum saya sempat mencari penyodok untuk mencabutnya, saya terlihat anak perempuan saya sedang menuang air ke atasnya. “Kenapakah kamu siram rumpai itu?!” teriak saya. “Saya mahu tengok sejauh mana rumpai ini akan tumbuh!” balasnya dengan senyuman nakal.
Rumpai bukanlah sesuatu yang kita sengaja suburkan. Namun semasa saya memikirkannya, saya menyedari bahawa ada kalanya kita menyiram “rumpai” dalam kehidupan rohani kita, memberi makan bagi keinginan yang mencekik pertumbuhan kita.
Paulus menulis tentang ini dalam Galatia 5:13-26, dia membezakan hidup yang mengikut daging dengan hidup melalui Roh. Dia mengatakan bahawa usaha untuk mengikut peraturan sahaja tidak akan mewujudkan jenis hidup yang “bebas daripada rumpai”, seperti yang kita inginkan. Sebaliknya, untuk mengelakkan menyiram rumpai, dia mengarahkan kita “melangkahlah menurut Roh.” Dia menambah bahawa berjalan tetap dengan Tuhan itulah yang membebaskan kita daripada gerak hati untuk “memuaskan keinginan sifat tabii” (ayat 16).
Kita perlu mengambil sepanjang hayat untuk memahami sepenuhnya ajaran Paulus. Tetapi saya suka kesederhanaan dalam bimbingannya: jika kita menyuburkan keinginan kita yang mementingkan diri, sesuatu yang merosakkan akan bertumbuh; sebaliknya jika kita memupuk hubungan kita dengan Tuhan, kita menumbuhkan buah rohani dan menuai hasil hidup yang salih (ayat 22-25).