Pelawak John Branyan berkata, “Kami tidak mencipta ketawa; itu bukan idea kami. Itu diberikan kepada kita [oleh Tuhan] yang tahu kita memerlukannya untuk menjalani hidup. [Kerana] Dia tahu kita akan mengalami kesukaran, Dia tahu kita akan mengalami pergelutan, Dia tahu … perkara-perkara itu akan berlaku … Ketawa ialah satu hadiah.”

Kadangkala jika kita melihat makhluk ciptaan Tuhan juga boleh membuat kita tertawa, sama ada kerana keanehan rupa (seperti platipus paruh itik) atau telatah binatang (seperti memerang yang suka bermain). Tuhan menciptakan mamalia yang hidup di lautan dan burung berkaki panjang yang tidak boleh terbang. Tuhan sungguh mempunyai kelucuan; dan disebabkan kita dicipta dalam imej-Nya, kita juga mempunyai tawa kegembiraan.

Kita mula-mula melihat perkataan ketawa dalam Alkitab dalam kisah Abraham dan Sarah. Tuhan menjanjikan seorang anak kepada pasangan tua ini: “anak lelaki darah dagingmu sendirilah yang akan menjadi ahli warismu” (Kejadian 15:4). Tuhan juga telah berfirman, “Menengadahlah ke langit dan hitunglah bintang jika kamu dapat menghitungnya” (ayat 5). Apabila Sarah akhirnya melahirkan anak mereka pada usia sembilan puluh, Abraham menamakan anak itu Ishak yang bermaksud “ketawa.” Seperti kata Sarah, “Allah telah membuat aku tertawa. Setiap orang yang mendengarnya akan tertawa bersama-samaku” (21:6). Sarah kagum bahawa dia boleh menyusukan seorang anak pada usia tuanya! Tuhan mengubah tawanya yang ragu-ragu (18:12) menjadi tawa yang penuh kegembiraan, apabila dia mendengar dia akan melahirkan anak. Terima kasih Tuhan untuk kurnia tawa!