Saya seorang yang perisau. Awal pagi ialah masa yang paling teruk kerana saya mudah berasa bimbang. Oleh itu, saya melekatkan satu petikan daripada mubaligh, Hudson Taylor pada cermin bilik mandi saya supaya saya dapat melihatnya ketika semangat saya lemah: “Tuhan yang hidup nyata. Dia telah bercakap dalam Alkitab. Dia menepati janji-janji-Nya dan akan melakukan semua yang dijanjikan-Nya.”

Kata-kata Taylor itu merupakan hasil daripada perjalanannya selama bertahun-tahun bersama Tuhan dan mengingatkan kita siapa Dia dan semua yang dapat dilakukan-Nya ketika kita dalam keadaan sakit, kemiskinan, kesunyian dan kesedihan. Taylor bukan sahaja tahu bahawa Tuhan boleh dipercayai─dia sendiri telah mengalami kebolehpercayaan-Nya. Oleh sebab dia mempercayai janji-janji Tuhan dan mentaati Dia, beribu-ribu orang Cina menyerahkan hidup mereka kepada Yesus.

Pengalaman Daud bersama Tuhan dan perbuatan-Nya, menolong dia mengetahui bahawa Tuhan boleh dipercayai. Dia menulis Mazmur 145, sebuah lagu pujian kepada Tuhan setelah dia menyedari Tuhan sebagai Tuhan yang baik, berbelas kasihan dan setia kepada semua janji-Nya. Apabila kita percaya dan mengikut Tuhan, kita menyedari (atau lebih memahami) bahawa Dia adalah siapa yang dikatakan-Nya dan Dia setia kepada firman-Nya (ayat 13). Seperti Daud, marilah kita bertindak balas dengan memuji Dia dan memberitahu orang lain tentang Dia (ayat 10-12).

Apabila kita menghadapi masa yang merisaukan, Tuhan dapat menolong kita tidak goyah dalam perjalanan kita dengan-Nya, kerana Dia boleh dipercayai (Ibrani 10:23).