Sebuah berita surat khabar melaporkan bahawa Pep telah membunuh kucing milik isteri seorang gabenor—tetapi Pep tidak melakukannya. Mungkin satu-satu kesalahannya ialah menggigit dan mengunyah sofa di rumah gabenor.

Rupanya Pep ialah seekor anjing Labrador muda yang aktif dan dimiliki oleh gabenor Pennsylvania, Gifford Pinchot pada tahun 1920-an. Anjing itu sebenarnya dihantar ke Penjara Wilayah Timur, malah gambarnya diambil dengan nombor pengenalan banduan. Apabila seorang wartawan akhbar mendengarnya, dia pun membuat rekaan cerita tentang kucing itu. Oleh sebab laporannya muncul di akhbar, ramai orang mula percaya Pep benar-benar telah membunuh kucing itu.

Salomo, Raja Israel tahu betul kuasa tentang maklumat yang salah. Dia menulis, “Kata-kata pemfitnah seperti makanan lazat, semuanya turun jauh ke dalam lubuk hati orang” (Amsal 18:8). Kadang-kadang sifat manusia kita yang berdosa menyebabkan kita ingin mempercayai perkara-perkara tentang orang lain yang tidak benar.

Namun walaupun orang lain mempercayai perkara yang tidak benar tentang kita, Tuhan masih boleh menggunakan kita untuk kebaikan. Pada hakikatnya, gabenor itu menghantar Pep ke penjara supaya anjing itu boleh berkawan dengan para banduan di sana—dan Pep menjadi perintis sebagai anjing terapi dan telah berkhidmat selama bertahun-tahun.

Tujuan Tuhan untuk hidup kita masih kekal, walau apa pun yang dikatakan atau difikirkan oleh orang lain. Apabila orang lain bergosip tentang kita, ingatlah pandangan Tuhan—dan kasih-Nya kepada kita—adalah yang paling penting.